Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, masalah utama yang dihadapi kementerian adalah kesedaran golongan wanita untuk menjalani pemeriksaan awal kanser payudara yang amat rendah apabila kira-kira 40 hingga 50 peratus pesakit hanya menjalani ujian sewaktu pe­ringkat tiga atau empat penyakit tersebut.
Menurutnya, perkara itu berlaku kerana kebanyakan wanita kurang kesedaran tentang bahaya penyakit berkenaan serta perasaan takut atau malu untuk mendapatkan rawatan selain kebanyakan wanita juga lebih cende­rung mendapatkan rawatan alternatif.

“Masalah kanser payudara dalam kalangan wanita di Malaysia amat merisaukan sekiranya dilihat dari sudut kadar kematian akibat penyakit kanser payudara dan Malaysia adalah antara negara yang tertinggi kadar kematiannya."


Malah, kes penyakit kanser payudara di negara ini dijangka terus meningkat dengan pada 2025 dianggarkan terdapat pe­ningkatan sebanyak 50 peratus, justeru tanpa kesedaran untuk menjalani pemeriksaan awal, situa­si penyakit kanser payudara yang kita alami sekarang tidak mungkin akan berubah,” katanya ketika berucap dalam Program HKL Pink Oktober 2016 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sini hari ini. -SUMBER


PUNCA PUNCA KANSER PAYUDARA 


1. Umur – umur merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Pesakit yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi. 1 daripada 500 wanita dalam umur 30’an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payu dara.
2. Sejarah keluarga – terdapat juga beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya. Wanita yang mempunyai ibu atau anak perempuan atau kakak/adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara
3. Sejarah mengidap kanser – pernah menghidap kanser payudara sebelum ini. Ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara.
4. Pernah menghidapi penyakit payudara benigna proliferatif
5. Wanita yang berasal dari Amerika Utara/Eropah Utara; insidens dan kematian disebabkan kanser payudara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun
6. Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)
7. Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun. -SUMBER

BAGAIMANA INGIN MENGESAN KANSER PAYUDARA?

Mamografi

Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan. Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan.
Anda boleh lakukan pemeriksaan mamografi di hospital kerajaan dan juga swasta ( bayaran dikenakan ). Sempena bulan kesedaran kanser payudara, Philips Malaysia juga akan mengadakan pemeriksaan mamografi secara percuma di sebuah hospital di Shah Alam.

Ultrasonografi

Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir.

Biopsi

Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop.